Assalamualaikum..
Sebenarnya dah lama bercadang nak buat nasi daging ni.. First time makan nasi daging ni dekat rumah terbuka kawan kakak saya.. Masa tu memang pelik juga.. Rupa macam nasi arab sebab daging dan nasi dimasak bersama dimakan pula dengan air asam.. Tapi rasanya memang sedap..
Semalam, balik dari kerja, tiba-tiba terbayang nasi daging.. Check dalam peti ais, semua bahan cukup.. Cantik! Tak payah masak lauk lagi hehehe..Maka jadilah nasi daging malam ni.. Masa tengah masak, satu rumah bau wangi rempah.. Memang sedap! Suami pun suka!
Kalau ikut asal, makan dengan air asam.. tapi saya rasa, kalau nasi ni makan dengan lauk-lauk nasi minyak pun sedap.. Jom saya kongsikan resepi nasi daging yang simple tapi sedap ni!
NASI DAGING SEDAP!
Bahan-bahan:
400gm daging - direbus hingga empuk (boleh ditambah jika mahu lebih lauk)
2 cawan beras - basuh dan toskan
1 sudu makan membukit rempah kurma
kulit kayu manis dan bunga lawang
3 biji bawang kecil - tumbuk
1 biji bawang putih - tumbuk
2 inci halia - tumbuk
2 sudu makan minyak masak
3 sudu makan margerin
11/2 cawan air rebusan daging
1/2 cawan susu cair
1 kiub pati ayam
2 sudu makan sunquick oren
2 helai daun pandan - disimpul
Cara-cara:
1. Rebus daging hingga empuk dan tinggalkan sedikit air rebusan. Ketepikan.
2. Dalam kuali, panaskan minyak bersama margerin. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, dan bahan-bahan yang ditumbuk. Masak sehingga naik bau.
3. Masukkan kiub pati ayam dan rempah kurma. Masak dengan api perlahan hingga rempah agak garing.
4. masukkan beras, daging yang direbus tadi, dan daun pandan. Gaul hingga beras dan bahan-bahan tumis tadi sebati. Tutup api.
5. Dalam periuk nasi, masukkan beras yang digaul dengan bahan-bahan tumis tadi bersama air rebusan daging dan susu cair. Masak sehingga kering.
6. Bila dah kering, masukkan sunquick oren. Tujuan sunquick adalah untuk mendapatkan nasi yang lembut dan lebih wangi. Gaul rata.
7. Tutup periuk, dan masak nasi dengan api kecil hingga masak. Apabila nasi sudah masak, gembur-gemburkan dan tutup api.. Semasa menghidang, boleh tabur sedikit bawang goreng jika suka.
8. sedia dihidang dengan air asam atau lauk-lauk lain.
NOTA: Tidak perlu tambah garam kerana pati ayam sudah masin.