KURMA AYAM SIMPLE

Beberapa hari lepas saya ada masak ayam masak kurma.. Selalunya bila dah tak tahu apa nak masak, saya akan masak lauk ni.. Suami saya cukup suka lauk berempah macam kurma ayam ni.. Tapi selalunya pilihan saya ialah kurma yang lebih simple.. Cuma letak kentang, bawang besar dipotong 4 dan lobak merah (kalau ada)..

Sesekali makan masakan berempah macam ni, dengan nasi panas-panas, sedap juga.. Tapi kalau kurma, saya memang lebih suka ayam berbanding daging.. Bagi saya, daging lebih sedap dimasak lemak atau kari..

Jom kita tengok resepi kurma ayam simple saya ni..



KURMA AYAM SIMPLE TAPI SEDAP

BAHAN-BAHAN:
setengah ekor ayam - potong
3 ulas bawang merah - tumbuk
2 ulas bawang putih - tumbuk
1 inci halia - tumbuk
2 batang serai - titik
1 asam keping
Setengah kotak santan kara
4 sudu makan rempah kurma - bancuh dengan sedikit air
Dua sudu makan gula merah
2 sudu makan kerisek
6 ulas lada thailand hijau - buang tangkai
Kentang - belah 4
Seulas bawang sederhana besar - belah 4

CARA-CARA:
1. Panaskan 1/2 cawan minyak masak di dalam kuali. Tumis serai dan bahan yang ditumbuk tadi hingga layu.
2. Masukkan rempah kurma. Masak dengan api perlahan hingga rempah garing.
3. Masukkan ayam. Gaul lagi hingga ayam agak kecut. Kemudian bolehlah dimasukkan santan kotak. Tambah sedikit air supaya tidak terlalu pekat. Boleh tambah satu asam keping untuk seimbangkan rasa.
4. Masukkan kentang yang dipotong tadi. Masak sehingga kentang lembut dan agak terbit minyak. Boleh ditambah air dari semasa ke semasa jika terlalu pekat.
5. Apabila ayam sudah masak dan kentang lembut, masukkan kerisek, gula merah, dan garam. Perasakan ikut selera. Kemudian masukkan bawang besar dan lada thailand tadi.
6. Apabila bawang agak layu, tutup api. Bolehlah dihidang.

Mudah kan resepi ni? =)

Anda boleh pelbagaikan sayur untuk dimasukkan ke dalam kurma.. Antara yang sesuai ialah seperti lobak merah, tomato, dan lada besar yang dipotong memanjang.

Selamat mencuba =)