AYAM GORENG BEREMPAH ALA-ALA AYAM PENYET

Ayam goreng adalah salah satu menu kegemaran saya. Jadi, dekat rumah memang sentiasa ada stok ayam dalam peti ais. Selalunya saya lebih suka menu ayam yang dimasak ringkas sahaja, dan ayam goreng sentiasa jadi pilihan saya. Suami saya juga sangat sukakan ayam goreng. Terutamanya bahagian drumstick! Kadang-kadang, sengaja saya ke pasaraya dan beli ayam bahagian paha sahaja sebab tahu suami memang sukakannya. 

Baru-baru ni bila skrol resepi ayam di youtube, terpandang resepi ayam untuk nasi ayam penyet. Bezanya resepi ni ialah, ayam dimasak bersama rempah-rempah sepeti bawang, halia, dan serai sehingga betul-betul masak sebelum dicelup tepung dan digoreng di dalam minyak yang banyak. Ternyata, setelah mencuba resepi ni, memang ayam terasa lebih rangup dan kita tak perlu risau lagi ayam tak masak isinya. Selalunya, kalau ayam goreng ni, paling takut ialah ayam kelihatan garing di luar tapi mentah di dalam.

Jom kita semak resepi simple yang saya olah daripada beberapa resepi di youtube ni..


AYAM GORENG BEREMPAH ALA-ALA AYAM PENYET

Bahan-bahan A:
4 ketul ayam bahagian drumstick
garam secukup rasa
sedikit serbuk kunyit
1 sudu makan gula
1 cawan air

Bahan-bahan kisar:
5 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih 
2 batang serai
2 inci halia
2 sudu makan biji ketumbar
2 sudu makan jintan kasar

Bahan-bahan bancuhan tepung (untuk celup ayam):
1 cawan tepung beras
2 sudu makan tepung jagung
garam
1 biji telur ayam
air

CARA-CARA:
1. satukan Bahan A dan bahan-bahan kisar di dalam periuk atau kuali. Masak sehingga ayam betul-betul masak. Boleh tambah air jika perlu. Setelah ayam masak, bolehlah diangkat dan diketepikan.

2. Dalam mangkuk, satukan bahan-bahan bancuhan tepung bersama lebih kurang 3 sudu makan lebihan rempah yang telah dimasak bersama ayam tadi (boleh lebihkan atau kurangkan. Tidak menjadi masalah). Jumlah air adalah berbeza mengikut kualiti tepung. Anggaran kecairan adalah seperti bancuhan tepung goreng pisang yang agak cair. 

P/S: Perlu berhati-hati memasukkan garam ke dalam bancuhan tepung kerana ayam tadi telah dimasukkan sedikit garam.

3. Dalam kuali berlainan, panaskan minyak yang agak banyak untuk menggoreng ayam. Celup ayam yang telah direbus bersama bahan kisar tadi dan goreng hingga garing dengan api sederhana. Apabila masak, bolehlah dihidang bersama nasi putih atau nasi lemak.

Selamat mencuba =)